Keyakinan Ekonomi Rakyat Menurun Mendadak Tapi Masih Lebih Tinggi Berbanding Suku Ke-Empat 2017 – Kenyataan Media MTEM.
Hasil kajian soal selidik mengenai Skor Keyakinan Ekonomi MTEM bagi suku ke-4 2018 menunjukkan penurunan besar keyakinan Rakyat terhadap ekonomi negara secara am kepada hanya 32.8 mata. Kajian yang dilakukan hasil kerjasama Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan KAJIDATA Research Sendirian Berhad, mendapati skor keyakinan ekonomi rakyat merudum dengan penurunan sebanyak 3.8 mata untuk suku ke-4 2018 berbanding suku ke-3 2018.Berbanding suku ke-2 2018 pula, penurunan skor keyakinan ekonomi adalah sebanyak 6.5 mata.
Penurunan yang mendadak ini boleh dikaitkan dengan beberapa perubahan ekonomi yang negatif seperti berikut:
- Kemerosotan nilai matawang Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat dariRM3.90 di awal tahun 2018 ke RM4.18 di hujung tahun 2018
- Pertumbuhan ekonomi yang lebih kecil berbanding tahun 2017 iaitu hanya sebanyak4.4% bagi suku ke-3 2018 berbanding 5.9% bagi suku ke-4 2017 sebagai contoh
- Aktiviti ekonomi di Malaysia yang banyak bergantung kepada industri petroleum & gas, kelapa sawit dan getah mungkin terjejas akibat kejatuhan harga bagi komoditi-komoditi ini sepanjang tahun 2018 (-19.2% bagi minyak mentah, -23.9% bagi minyak kelapa sawit & -14.7% bagi getah skrap
- Implementasi SST sebagai ganti kepada GST mungkin menyebabkan harga untuk beberapa barangan dan perkhidmatan untuk melonjak kembali ke tahap yang sama seperti masa GST masih berkuasa.
- Menurut kajian yang dijalankan Numbeo.com, kuasa membeli pengguna Malaysia menurun sepanjang tahun 2018 dari 73.5 pada awal tahun 2018 ke 71.7 di penghujung 2018
Namun, ada juga indikator ekonomi yang lebih positif iaitu:
- Harga RON95 yang kekal pada RM2.20/liter hingga Disember 2018
- Indeks Harga Pengguna (CPI) pada November 2018 yang hanya meningkat 0.2% dariNovember 2017
- Pertumbuhan ekonomi yang masih positif iaitu sebanyak 4.4% bagi suku ke-3 2018walaupun ini masih suatu penurunan dari suku-suku yang sebelum ini
- Perbelanjaan swasta meningkat sebanyak 9% bagi suku ke-3 2018 berbanding suku ke- 2. Ini menunjukkan ekonomi masih berkembang walaupun kadar pertumbuhan tidak sebesar yang lalu
Barangkali, Skor Keyakinan Ekonomi MTEM menunjukkan bahawa Rakyat sudah membuat kesimpulan bahawa pada dasarnya, tiada perubahan ekonomi besar yang sebenarnya berlaku selepas Pilihanraya Umum ke-14. Pembaharuan ekonomi adalah sesuatu yang amat rumit dan memerlukan masa yang panjang untuk mencatat perubahan yang bermakna. Cabaran yang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan untuk tahun 2019 dan yang seterusnya adalah sangat besar dan memerlukan masa untuk dilaksanakan.
MTEM ingin menekankan bahawa satu kumpulan yang perlu diberi perhatian khusus adalah isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang dari RM2,000. Kumpulan ini yang hampir semuanya adalah Bumiputera mencatatkan keyakinan ekonomi yang terendah iaitu 25.4 berbanding 40.7 bagi isi rumah dengan pendapatan lebih dari RM7,000 sebulan.
Ekoran keyakinan ekonomi golongan berpendapatan rendah yang sangat kecil, kerajaan wajar mengambil tindakan pantas untuk merapatkan jurang ekonomi yang semakin ketara. 3 langkah berikut mampu mengurangkan beban ekonomi yang ditanggung mereka yang paling kurang berkemampuan: –
- Menaikkan gaji minima mengikut sektor sejajar dengan peningkatan kadar inflasi negara. Gaji minima mengikut sektor haruslah dilakukan segera bagi membantu pemain industri dan juga pekerja tidak kira bagi rakyat Malaysia mahupun pekerja asing. Ini adalah juga untuk membantu majikan-majikan di Malaysia meningkatkan produktiviti mereka dan juga menghalang mereka daripada mengambil semakin ramai pekerja asing dengan gaji yang terlalu rendah.
- Meningkatkan nilai pemberian Bantuan Sara Hidup Rakyat dengan kuantum yang besar untuk membetulkan sedikit sebanyak pengagihan manfaat perkembangan ekonomi yang kebanyakannya dinikmati golongan atasan.
- Meneliti kaedah perolehan kerajaan yang lebih berkesan dalam merancakkan ekonomi negara terutamanya sektor perolehan SME
Kami menerima maklum balas dari ahli MTEM bahawa sekarang, tender terbuka diumumkan dengan saiz kontrak yang terlalu besar dan ini pasti akan menghadkan kemungkinan kebanyakan kontraktor Bumiputera untuk mengambil bahagian. Paling pelik, ketika kerajaan mengumumkan tender-tender terbuka bernilai tinggi, kerajaan masih mengeluarkan alasan untuk memberi tender terus kepada syarikat yang dipilih dengan kriteria yang tidak diketahui. Sebagai contoh, Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) kesal dengan tindakan Kementerian Kewangan memperoleh begitu banyak buku teks tanpa tender terbuka dengan alasan keperluan untuk menyediakan buku-buku itu dengan pantas.
MTEM kecewa kerana perkembangan ini telah menidakkan peluang bagi pencetak-pencetak buku yang sebenarnya memiliki mesin pencetak, bukannya syarikat penerbit. Saiz kontrak yang besar dan diberi secara terus tanpa melalui proses tender terbuka akan menggalakkan gejala Ali- Baba dan akan mengakibatkan hasil keuntungan dinikmati oleh golongan terpilih dan terus mengecewakan komuniti ekonomi Bumiputra dan persepsi orang Melayu-Bumiputra terhadap ekonomi negara.
Shankaran Nambiar, seorang pakar ekonomi, meramalkan perkembangan ekonomi Malaysia pada hanya 4.5% iaitu lebih rendah dari kadar 4.9% yang dinyatakan kerajaan. Nomura Research pula lebih pesimis dan hanya menjangka pertumbuhan serendah 4.0%.
Faktor-faktor di sebalik jangkaan muram ini adalah:
- Risiko perang perdagangan di antara Amerika dan China bakal mengurangkan aktiviti ekonomi global dan ini akan mengurangkan keperluan import dari Malaysia.
- Harga minyak mentah dijangka jatuh ke serendah $62 dari paras kini iaitu $65 kerana kelebihan bekalan. Belanjawan kerajaan persekutuan memerlukan harga $70 untuk diimbangi dan ini akan meletakkan tekanan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Pemansuhan GST menyukarkan keadaan kerana tindakan ini telah mengurangkan pendapatan kerajaan.
Oleh itu, MTEM menjangkakan MECS seterusnya untuk mencatatkan skor yang lebih rendah berbanding suku ke-4 2018. MTEM mencadangkan kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah yang akan merangsang perkembangan ekonomi dam juga mengurangkan beban yang dialami isi rumah berpendapatan rendah.
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, MTEM, adalah sebuah badan bukan Kerajaan yang prihatin terhadap status ekonomi Negara khususnya Bumiputera. MTEM, dengan kerjasama KAJIDATA Research bertindak melakukan kaji selidik penilaian terhadap ekonomi Negara pada suku tahun ke- 4 2018 dan merancang untuk terus menjalankan kajian yang sama pada masa yang akan datang.
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) adalah sebuah payung organisasi yang mewakili lebih 50 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu diperingkat Nasional. Terdapat kira- kira 120 organisasi NGO ekonomi Melayu di peringkat negeri turut berada di bawah payung MTEM. Platform Nasional yang ditubuhkan ini merupakan antara yang pertama seumpamanya di Malaysia dan turut mewakili lebih 500,000 perniagaan Melayu.
Responden telah dipilih secara rawak berdasarkan persampelan berstrata sepanjang etnik, jantina, umur dan negeri mengikut demografi negara. Kajian ini telah dilakukan menggunakan kaedah Voice Activated Telephone Interview (VATI).Mahukan salinan laporan?
Muat turn secara percuma!